Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN MENERUSKAN MISI MENCARI PEMENANG BULAN MAC

Tawar Lebih 88,000 Hadiah Untuk Dimenangi

 

 

Kuala Lumpur, 28 Mac 2015 – Pemenang Cabutan Bulanan dan Tempatan SSP BSN bagi bulan Mac 2015 telah diumumkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini bertempat di Wisma BSN Kuala Lumpur.

Pemenang bagi Cabutan Bulan Mac akan membawa pulang sebuah kereta mewah BMW 320i manakala 13 pemenang bagi Cabutan Tempatan pula akan memenangi kereta Perodua Axia.

Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Bulan Februari turut diadakan dan dihadiri oleh Dato’ Mearia Hamzah, Naib Presiden Kanan/ Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti BSN.

Merupakan produk simpanan BSN yang unik, SSP adalah satu-satunya produk simpanan yang direka khas kerana hanya dengan RM10, semua penyimpan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah lumayan yang ditawarkan pada setiap minggu dan bulan di samping memperolehi keuntungan (dividen) yang berpatutan.

Selain itu juga, para penyimpan SSP tidak perlu bimbang akan keselamatan simpanan mereka kerana SSP BSN merupakan produk simpanan yang dijamin oleh kerajaan dan semua hadiah yang dimenangi akan dikecualikan daripada pembayaran cukai pendapatan.

“Pada tahun ini, BSN menawarkan bilangan hadiah Cabutan SSP melebihi 88,000 bernilai RM18juta. Ini semua adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk menghargai pelanggan-pelanggan BSN kerana terus setia bersama kami sehingga ke hari ini” kata Dato’ Mearia di majlis Cabutan SSP BSN.

“Ini merupakan komitmen BSN untuk menggalakkan orang ramai menyimpan bersama SSP kerana hanya dengan SSP sahaja mereka boleh mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Selain itu, ia juga sejajar dengan misi BSN untuk menjadikan tabiat menyimpan sebagai satu cara hidup masyarakat pada masa kini,” tambah beliau.

Pada majlis sebelum ini, BSN telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Cabutan SSP BSN bagi bulan Januari. Majlis ini diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada Pemenang Bulanan Utama bagi bulan Februari.

 

Simpanan Selamat dan Menguntungkan

Puan Norhayani Bt Abu merupakan Pemenang Bulanan Utama bagi bulan Februari. Beliau adalah seorang Ibu tunggal berusia 58 tahun yang juga merupakan pesara dari Kementerian Pertahanan Malaysia. Puan Norhayani telah memenangi sebuah kereta mewah Mercedes-Benz E300.

“Saya amat bersyukur di atas kemenangan tersebut.  Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada BSN kerana mengadakan cabutan SSP ini. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa simpanan di SSP BSN adalah sangat berbaloi dan tiada produk lain di pasaran yang menawarkan ganjaran sehebat SSP BSN,” kata Puan Norhayani yang berasal dari Kuala Lumpur.

“Selain untuk simpanan kewangan saya dan anak-anak, kita juga boleh memenangi hadiah-hadiah hebat yang ditawarkan BSN. Sememangnya menyimpan dengan SSP adalah selamat dan menguntungkan” tambah beliau lagi.

Turut hadir di majlis penyampaian hadiah ini adalah Pemenang Tempatan bagi bulan Februari iaitu Encik Abdul Rauf Ibrahim, dari Negeri Sembilan dan  Datuk Ong Teng Chai dari Melaka yang masing-masing telah memenangi sebuah kereta Perodua Axia.

SSP adalah produk simpanan patuh syariah yang menggunakan konsep Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan. Keputusan SSP adalah hasil daripada proses pemilihan pemenang yang dibuat di hadapan wakil-wakil Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Jabatan Audit Negara, Perbendaharaan Malaysia dan Aktuari Kerajaan. Keputusan Cabutan SSP bagi bulan Februari  ini akan dimuat naik ke laman sesawang BSN pada hari pertama bekerja selepas majlis cabutan diadakan.

 

- END -


Press Release