Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN SEDIA AKSES RANGKUMAN KEWANGAN MELUAS KEPADA KOMUNITI ORANG ASLI

Tawar Kemudahan Ejen Bank BSN dan Pembiayaan Mikro

 

Mersing, 21 Ogos 2015 – Bank Simpanan Nasional (BSN) meneruskan lagi usahanya untuk memperkukuhkan agenda rangkuman kewangan di Malaysia dan memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat kemudahan kewangan yang berkualiti dari institusi kewangan. Usaha ini dapat dilihat melalui program bersama komuniti yang dianjurkan dari masa ke semasa, kali ini dijalankan bersama masyarakat Orang Asli di Tanah Abang, Mersing, Johor.

Program bersama komuniti ini telah dihadiri oleh Tuan Haji Nasri bin Md Ali, Pentadbir Tanah Daerah Mersing, YBhg Datuk Yunos Abd Ghani, Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan Runcit BSN dan Puan Marina Kahar, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Bank Negara Malaysia (BNM).

 

RamoiRamoi.jpg

Pelanggan-pelanggan BSN yang menerima Pembiayaan Mikro kali kedua bersama Puan Marina Kahar dari Kanan, Datuk Yunos Abd Ghani ketiga dari kanan dan Tuan Haji Nasri Md Ali kedua dari kiri.

Antara aktiviti yang diadakan sempena program ini adalah aktiviti beramah-mesra bersama masyarakat setempat, penerangan lebih lanjut mengenai perkhidmatan Ejen Berdaftar (EB) BSN dan produk Pembiayaan Mikro BSN, pertandingan mewarna, pembukaan kaunter informasi, sesi taklimat dan sebagainya. BSN turut membuka kaunter online di mana orang ramai boleh menikmati kemudahan pembukaan akaun, pembelian SSP, pembayaran bil serta beberapa khidmat perbankan yang lain.

“Saya amat berbangga dengan produk EB BSN ini kerana ianya dapat membantu masyarakat terutamanya yang berada di luar bandar mendapatkan perkhidmatan perbankan yang terbaik. Sebagai contoh, khidmat perbankan yang berhampiran bagi masyarakat di Kampung Orang Asli Tanah Abang ini adalah di Bandar Mersing yang memerlukan perjalanan selama 40 minit. Kini dengan perkhidmatan EB BSN yang telah didaftarkan di salah sebuah kedai runcit di sini, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan perbankan seperti yang ditawarkan di bank. Tambahan pula, dengan adanya perkhidmatan Pembukaan Akaun Giro/Giro-i di premis EB, saya percaya matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju akan dikecapi melalui kemudahan ini” kata YBhg Datuk Yunos Abd Ghani, Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan Runcit BSN.

 

RamoiRamoi2.jpg

Tuan Haji Nasri Md Ali, Pentadbir Tanah Daerah Mersing dalam proses membuka Akaun menggunakan terminal Point of Sale (POS) yang dijalankan dalam talian secara masa nyata (real time) sambil disaksikan oleh Puan Marina Kahar, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris BNM  dan Datuk Yunos Abd Ghani, Timbalan Ketua Eksekutif (Perbankan Runcit) BSN

Bagi mendapatkan perkhidmatan pembukaan akaun di EB BSN, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana premis berdekatan dengan hanya membawa bersama Mykad untuk tujuan pengesahan biometrik bersama jumlah deposit permulaan serendah RM20. Perkhidmatan pembukaan akaun di setiap EB BSN adalah menggunakan terminal Point-of-Sale (POS) yang disambungkan terus kepada sistem BSN untuk membolehkan urus niaga dilakukan secara atas talian dalam masa nyata. Ianya adalah cepat, mudah dan selamat. Sehingga 31 Julai 2015, perkhidmatan Pembukaan Akaun Giro/Giro-i melalui EB BSN telah mencatatkan urusan sebanyak 6,256 berjumlah lebih RM 290 ribu.

EB BSN juga turut menawarkan (6) jenis perkhidmatan perbankan lain seperti Perkhidmatan Deposit, Pengeluaran Wang Tunai, Pembayaran Bil, Pembelian e-SSP, Pembelian Tambah Nilai Pra-bayar telefon bimbit dan Pembayaran Tanpa Tunai. EB BSN kini mempunyai 6,033 ejen berdaftar yang beroperasi di seluruh negara.

 

RamoiRamoi3.jpg

Tuan Haji Nasri Md Ali, Pentadbir Tanah Daerah Mersing sedang membuka akaun BSN di EB BSN Tanah Abang - Arjuria Enterprise

Di samping ejen perbankan, BSN turut menawarkan produk Pembiayaan Mikro untuk membantu membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masyarakat  di luar bandar. Institusi peneraju Pembiayaan Mikro memiliki pegangan pasaran sebanyak 47% dan  BSN sentiasa komited untuk menawarkan bantuan bukan sahaja berbentuk permbiayaan kewangan malah turut meliputi khidmat nasihat, latihan dan bimbingan yang bersesuaian kepada para pemohon.  

org-asli3.jpg

Kaunter BSN yang dikerumuni komuniti orang asli Kg. Tanah Abang untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSN.

Para usahawan yang berminat hanya perlu memiliki dokumen asas untuk mendapatkan pembiayaan mikro BSN berjumlah sehingga RM50,000. Ianya adalah mudah, cepat dan tiada cagaran diperlukan. Selepas hampir lapan (8) tahun memperkenalkan produk Pembiayaan Mikro, BSN telah membantu seramai lebih 45,000 usahawan di seluruh negara dengan jumlah pengeluaran pembiayaan mencecah RM 1bilion.

Selain itu, sempena program bersama komuniti ini juga, BSN turut menyalurkan pembiayaan kali kedua (2) sebanyak RM100,000 kepada tiga (3) pelanggannya yang telah menunjukkan perkembangan perniagaan yang positif selepas pembiayaan kali pertama. Ketiga-tiga pelanggan ini terdiri daripada usahawan mikro yang berasal dari kawasan Tanah Abang, Mersing dan kawasan sekitar. Mereka juga merupakan ejen Bank yang berdaftar.

orang-asli4.jpg

Komuniti Orang Asli di Kg. Tanah Abang, Mersing yang hadir untuk program yang dianjurkan oleh BSN.

BSN sentiasa komited untuk mengetengahkan lebih ramai usahawan mikro yang berjaya melalui skim pembiayaan yang disediakan.  Sebuah buku “Aspirasi Merintis Kejayaan” telah diterbitkan bagi mengetengahkan dan menceritakan kisah kejayaan usahawan Mikro BSN yang terpilih agar ianya dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada seluruh usahawan mikro di Malaysia.

Puan Marina Kahar, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Bank Negara Malaysia, dalam ucapannya menyarankan masyarakat supaya  memanfaatkan perkhidmatan perbankan ejen yang mudah, cepat dan selamat dalam memenuhi keperluan perbankan asas dan urusan kewangan harian. Menurut beliau, Malaysia kini telah mencapai tahap rangkuman kewangan atau “financial inclusion” yang lebih tinggi dengan  96% daripada 886  mukim yang mempunyai penduduk melebihi 2,000 orang telah mendapat kemudahan atau akses kepada perkhidmatan perbankan asas berbanding dengan hanya 46 peratus pada tahun 2011. Setakat Jun 2015, terdapat lebih 6,500 ejen bank yang telah dilantik dan sejumlah 45.6 juta transaksi yang bernilai RM4.5 bilion telah dijalankan melalui ejen bank di seluruh Malaysia. Perkhidmatan perbankan ejen ini akan diperluaskan lagi supaya segenap lapisan masyarakat di semua pelusuk kawasan dapat menikmati perkhidmatan kewangan yang berkualiti dan cekap.

Peniaga-peniaga kecil juga disarankan untuk memanfaatkan kemudahan Skim Pembiayaan Mikro bagi mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Terdapat 10 institusi kewangan peserta Skim Pembiayaan Mikro, termasuk Bank Simpanan Nasional yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000. Semenjak pelaksanaan Skim ini pada tahun 2006, lebih daripada 176 ribu peniaga kecil telah mendapat manfaat dengan jumlah pembiayaan terkumpul yang telah diluluskan hampir RM3 billion, ujarnya lagi.

Sekiranya pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan EB BSN atau Pembiayaan Mikro, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan BSN di 1300 88 1900 atau layari www.mybsn.com.my untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk-produk atau perkhidmatan BSN yang lain.