Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN komited perkasa inisiatif tanggungjawab korporat

Sumbang dana keperluan wad pediatrik


Sungai Buloh, 19 Januari 2016 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menyerahkan sumbangan lebih RM100,000 kepada empat buah hospital di sekitar Negeri Selangor dan ibu negara bagi keperluan wad pediatrik di hospital yang terlibat.

Majlis serahan replika cek diadakan di Auditorium Hospital Sungai Buloh, Selangor. Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat BSN, En Frederick Siew Kin Meng kepada pengarah dan wakil pengurusan dari Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Kuala Lumpur.

Frederick Siew berkata, dana terkumpul itu diraih ketika penganjuran program “ BSN Putrajaya Night Marathon (BSN PNM)”melalui Corporate Run atau larian Korporat 10 KM yang dijadualkan pada 24 Oktober tahun lalu. Walau bagaimanapun, acara itu dibatalkan atas kekangan keadaan jerebu yang tebal di sekitar lokasi di Putrajaya.

“Program BSN PNM dianjurkan sejak tahun 2011 dan mendapat sambutan lebih 12 ribu peserta dari seluruh dunia saban tahun. Ia antara inisiatif daripada tanggungjawab sosial korporat BSN berkolaborasi dengan badan Korporat lain untuk menyumbang dan pada masa yang sama menyertai marathon”, kata Frederick Siew.

Meskipun penganjuran BSN PNM 2015 dibatalkan tahun lalu, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan pada hari kutipan ”Race Kit” yang diadakan selama empat jam sehingga jam 10 malam pada hari yang sama. Pelbagai aktiviti turut diadakan bagi menarik perhatian pengunjung di Dataran Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya.

Ujarnya, menerusi janji jenama baharu “Menggapai kehidupan yang lebih baik”, BSN komited untuk terus mencari pelbagai platform mengembangkan inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan.

Malah, BSN turut berharap agar sumbangan itu dapat membantu meringankan beban pesakit bagi mendapatkan rawatan perubatan yang berkaitan dan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Sebelum ini, sejumlah RM100,000 dikumpulkan setiap tahun menerusi penyertaan sektor korporat dan telah diagihkan kepada Persatuan Dyslexia Malaysia, Institusi Jantung Negara, Persatuan Glaucoma Malaysia dan Women's Aid Organisation (WAO).

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release