Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

7 Jutawan BSNSSP

Ganjaran Terhebat Untuk Penyimpan Setiap Bulan


Kuala Lumpur,  28 Mei 2016 – BSN hari ini mengumumkan ganjaran terbaharu untuk produk simpanannya iaitu Sijil Simpanan Premium (BSNSSP) yang menawarkan sejumlah RM1 juta sebagai ganjaran Cabutan Istimewa pada setiap bulan selama 7 bulan bermula 1 Jun hingga akhir tahun ini. 

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Perniagaan, En Ahmad Latfan Mohd Amran pada Karnival BSNSSP di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Kata En Latfan, sebelum ini BSN menawarkan ganjaran RM1 juta hanya pada cabutan hujung tahun. BSNSSP ini merupakan satu-satunya produk simpanan yang unik dan tersendiri dalam kalangan produk simpanan yang ditawarkan di pasaran. Malah simpanan BSNSSP bakal memberikan ganjaran yang melebihi nilai simpanan serta ganjaran berganda melalui pelbagai jenis cabutan yang ditawarkan.

“Ganjaran terhebat kali ini adalah bagi menggalakkan lagi simpanan dan menawarkan ganjaran RM1 juta pada setiap cabutan Istimewa selama 7 bulan hanya dengan simpanan minimum RM3,000”.

Ujarnya, cabutan bulanan juga masih menawarkan ganjaran kereta mewah sebuah BMW dan Mercedes Benz. Selain itu, ganjaran terbaharu ini turut memperkenalkan Cabutan Remaja khas untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang menawarkan ganjaran RM10,000 serta ganjaran lain seperti gajet elektronik.

Pada karnival tersebut, BSN turut mengadakan cabutan bagi Bulan Mei dan mengumumkan senarai pemenangnya. Pemenang Cabutan Bulanan membawa pulang sebuah kereta mewah BMW 520i manakala 13 pemenang Cabutan Tempatan pula memenangi sebuah kereta Perodua Axia setiap seorang.

Pada majlis sama, BSN turut meraikan pemenang bulan lepas iaitu bulan April yang telah dijemput hadir bagi menerima sendiri ganjaran yang dimenanginya. En Gregory Filex Wong dari Sabah memenangi ganjaran berupa sebuah kereta mewah Mercedes Benz C200.

Pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu boleh membuat simpanan SSP menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan Internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui ejen bank (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM).

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai SSP, sila layari www.mybsn.com.my.

 

- END -


Press Release