Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

Rewang Ramadan BSN 2016

Agih lebih 65,000 bungkusan bubur lambuk di seluruh negara


KAJANG, 15 Jun 2016 – BSN hari ini menganjurkan program “Rewang Ramadan BSN” di kesemua 13 buah negeri secara serentak di seluruh negara sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat BSN pada bulan Ramadan tahun ini.

Ia membabitkan aktiviti rewang selama sehari bagi menyedia dan mengagihkan lebih 65,000 bungkusan bubur lambuk untuk orang ramai di 65 buah masjid dan surau yang menjadi tumpuan masyarakat terutamanya ketika bulan Ramadan.

Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang dipilih antara lima buah lokasi masjid dan surau di sekitar Negeri Selangor bagi anjuran program Rewang BSN ini. Empat buah masjid lain adalah Masjid Jamek Sultan Hishamudin Pekan Sabak Bernam, Masjid Assolihin, Kanchong Darat Banting, dan Masjid AR-Rahman, Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang dan Pusat Tahfiz Al- Kholidi Ulu Yam Bharu.

Naib Presiden Kanan/Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puan Puspa Marina Omar berkata, BSN merupakan satu-satunya bank dan institusi kewangan yang menganjurkan program agihan bubur lambuk secara rewang besar-besaran di seluruh negara.

“Program rewang ini merupakan inisiatif berterusan BSN dalam memainkan peranannya sebagai ‘jiran’ kepada masyarakat dan memastikan ukhwah, persahabatan serta semangat muhibah di antara pelbagai kaum dapat terus dieratkan. Ia juga adalah rentetan aktiviti pengagihan 40,000 bungkus nasi lemak di seluruh negara sempena sambutan ulang tahun BSN yang ke 40 pada bulan Disember 2015”.

Ujar Puan Marina, “Inisiatif penganjuran program ini bukan hanya bersifat sebagai  tanggungjawab sosial korporat BSN semata-mata, sebaliknya memaparkan kebertanggungjawaban BSN sebagai ‘jiran’ yang cakna dan prihatin memandangkan bulan Ramadan bukan sahaja disambut oleh umat Islam, malahan kaum lain juga merasai kemeriahannya terutama apabila dapat menikmati pelbagai juadah termasuklah bubur lambuk yang menjadi tradisi”.

Seramai 1,300 orang warga BSN terdiri daripada kakitangan ibu pejabat dan cawangan di peringkat negeri terlibat bagi aktiviti rewang ini seawal jam 10.00 pagi bagi membantu membuat membuat persiapan dan memasak bubur lambuk selain dibantu oleh wakil pihak masjid dan surau.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari www.mybsn.com.my

 

 

- END -


Press Release