Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

PROGRAM DARI MATA TURUN KE HATI


Alor Setar, 11 Januari 2017 – Kerajaan Negeri Kedah melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat & Keluarga, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah menjalankan fasa kedua program pemberian cermin mata “Dari Mata Turun ke Hati”

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, YB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di Dewan Sri Mentaloon, Alor Setar, Kedah. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat & Keluarga, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, YB Dato’ Suraya Haji Yaacob, Timbalan Ketua Eksekutif Strategi & Komunikasi, Encik Kameel Abdul Halim serta Y.Bhg. Komander (K) Datuk Zulkifli Ishak, Pengerusi ZI Communication Sdn Bhd. 

Program pemberian cermin mata “Dari Mata Turun ke Hati” diadakan bagi mendekati denyut nadi masyarakat desa di kawasan terbabit di mana para pelajar yang kurang berkemampuan dan miskin diberikan perkhidmatan pemeriksaan mata dan pemberian cermin mata secara percuma. 

Dato’ Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang memaklumkan, fasa kedua program berkenaan merupakan rentetan kepada kesinambungan fasa pertama yang diadakan di Dewan Serbaguna Mak Inson, Pendang selama dua hari pada pertengahan November tahun lalu. 

“Seramai 500 orang pelajar telah menjalani pemeriksaan mata percuma dan diberikan bantuan cermin mata. Mereka merupakan pelajar yang terdiri daripada 39 buah sekolah menengah dan 95 buah sekolah rendah di sekitar daerah Pendang dan Sik termasuk sekolah angkat BSN. Manakala pada hari ini pula, selebihnya 500 pelajar lagi akan menerima bantuan sama pada majlis yang amat istimewa ini”. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Strategi & Komunikasi BSN, Encik Kameel Abdul Halim berkata, BSN telah menaja bersama kos perkhidmatan pemeriksaan mata dan sumbangan cermin mata kepada para pelajar. 

“Kita merasa cukup teruja untuk menjalankan program ini demi membantu anak-anak desa menikmati suasana pembelajaran dan pendidikan yang lebih kondusif serta bermakna. Diharapkan agar program sebegini dapat memberi impak yang cukup besar. 

kepada masyarakat dan ini yang harus kita angkat untuk dijadikan tauladan kepada segala usaha tanggungjawab sosial korporat di masa hadapan”. 

Fasa kedua program pemberian cermin mata “Dari Mata Turun ke Hati” melibatkan dua sesi bermula pada hari Selasa, 10 Januari 2017 di Dewan Cenderawasih, Pendang dan Rabu, majlis perasmian pada 11 Januari 2017 di Dewan Seri Mentaloo, Alor Setar. 

- END -


Press Release