Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN komited perkasa inisiatif tanggungjawab korporat

Serah RM200,000 bantuan keperluan harian kepada 1,000 keluarga mangsa di negeri terjejas banjir


Kelantan, 2 Februari 2017 -  Ekoran musibah banjir yang melanda kawasan pantai timur serta beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) mengambil inisiatif memulakan siri jelajah untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat. 

Negeri pertama yang dikunjungi hari ini adalah di Negeri Kelantan melibatkan jajahan Pasir Mas, Pasir Putih dan Rantau Panjang. Serahan bantuan disampaikan oleh Naib Presiden Kanan/Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puan Puspa Marina Omar. Hadir sama, Pengarah Perniagaan BSN Negeri Kelantan, En Komarudin Mustapha dan Ketua Operasi BSN Negeri Kelantan, En Mohd Zaidi A Malek. 

Puan Puspa Marina berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab BSN kepada masyarakat bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir supaya mereka dapat memulakan kembali kehidupan seperti biasa selepas ditimpa musibah. 

”BSN sentiasa memainkan peranannya dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam di seluruh negara. Hal ini kerana ia merupakan salah satu cara terbaik untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan sewaktu mereka memerlukannya disamping peranan BSN dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan kepada segenap lapisan masyarakat selama ini”. 

Sebanyak 400 pek bantuan berupa barangan keperluan harian dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 80,000 telah diserahkan kepada 400 buah keluarga di ketiga-tiga jajahan di Negeri Kelantan. Baki 600 pek dengan jumlah sebanyak RM 120,000 lagi akan diagihkan kepada penerima di negeri lain dalam tempoh terdekat. 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari www.mybsn.com.my.

 

- END -


Press Release