Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

ANUGERAH SGSP BSN

Inisiatif memperkasa tabiat menabung generasi muda


Subang,  21 Mac 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini meraikan pemenang-pemenang Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) peringkat kebangsaan bagi tahun 2016. 

Seramai 118 pemenang individu dan sekolah menerima hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000. Ia melalui penyampaian anugerah bagi tiga kategori utama iaitu Kategori Individu, Kategori Sekolah dan Kategori Tabungan Berhemah. 

Hadiah disampaikan oleh YBhg Dato’ Haji Ahmad Tajuddin Bin Jab, Timbalan Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Operasi Pendidikan diiringi Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning di Sunway Resort Hotel & Spa. Hadir sama, Marina Kahar, Pengarah Pembangunan Kewangan & Enterpris Bank Negara Malaysia (BNM) dan Rozainum binti Ahmad, Pengarah Bahagian Korikulum & Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Datuk Adinan memaklumkan, SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaannya terbuka kepada para pelajar samada di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pihak sekolah. 

Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan juga purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2016. 

“Sehingga akhir tahun lalu, SGSP telah menerima sambutan penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada para pelajar dan sekolah. Sejumlah lebih 1.02 juta orang pelajar dan lebih 7,500 buah sekolah telah menyertai SGSP. Malah, jumlah simpanan para pelajar dan sekolah ini juga telah mencapai sehingga lebih RM 579 juta. Ini menjadi bukti akan kejayaan SGSP mencapai sasarannya untuk mempertingkatkan simpanan dan aktiviti tabungan di kalangan pelajar”. 

“Pencapaian ini adalah satu peningkatan yang amat baik sekali. Ini jelas menunjukkan bahawa generasi muda pada masa kini menyahut baik akan amalan menabung dan   berjimat cermat. Ini juga menjadi bukti akan kejayaan SGSP untuk mempertingkatkan simpanan dalam kalangan pelajar” kata Datuk Adinan Maning. 

Ujarnya, BSN turut menyediakan dana insentif RM1 juta sejak tahun 2013 kepada sekolah-sekolah yang menyertai SGSP dengan syarat kelayakan iaitu penyertaan pelajar terhadap SGSP dan purata simpanan pelajar. 

BSN turut mensasarkan lebih banyak penyertaan para pelajar seluruh Malaysia melalui SGSP bagi menggalakkan dan memperkasakan sikap menabung dalam kalangan pelajar dan pihak sekolah untuk terus menyimpan bersama BSN dan menikmati kelebihannya. 

BSN secara berterusan giat mempromosikan tabiat menyimpan melalui inisiatif SGSP dan BSJ melalui program ‘BSN School Carnival’ dan program-program menarik di sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan inisiatif dan produk simpanan BSN, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release