Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN komited perkasa inisiatif tanggungjawab korporat

Serah RM9,000 bantuan keperluan harian kepada keluarga asnaf


Segamat, 11 April 2017 -  Bank Simpanan Nasional (BSN) menyokong sepenuhnya dalam menjayakan agenda pembangunan sosial masyarakat Islam dan penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf pada hari ini merupakan antara aktiviti yang dijalankan sebahagian daripada tanggungjawab korporatnya. 

Pek berisi barangan keperluan harian bernilai RM9,000 telah diserahkan kepada 45 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf. 

Serahan bantuan disampaikan oleh Tn Haji Jamaluddin Rasit, Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Segamat merangkap pegawai khas Exco Kesihatan & Alam Sekitar Negeri Johor, YB Datuk Ayub Hj Rahmat di Masjid Bukit Siput, Segamat, Johor. Hadir sama, Puspa Marina Omar, Naib Presiden Kanan/Ketua Komunikasi Strategik BSN dan Roslin Marjumin, Pengarah Perniagaan BSN Negeri Johor. 

En Roslin berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab BSN kepada masyarakat bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Ia juga merupakan platform terbaik untuk mendekati masyarakat sekaligus dapat meringankan beban kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. 

BSN sentiasa memainkan peranannya dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Hal ini kerana ia merupakan salah satu cara terbaik untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan sewaktu mereka memerlukannya disamping peranan BSN dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan kepada segenap lapisan masyarakat selama ini”. 

Sebelum ini, sejumlah 400 pek bantuan dengan nilai sebanyak RM80,000 telah diagihkan di jajahan Pasir Mas, Pasir Putih dan Rantau Panjang di Kelantan dan juga sebanyak 380 pek bantuan berupa barangan keperluan harian dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 76,000 telah diserahkan kepada 15 buah kampung di daerah Segamat antaranya Kampung Paya Pulai, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Chodan berikutan musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri pada Januari yang lalu. 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari www.mybsn.com.my.

 

- END -


Press Release