Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

PENCAPAIAN 5 TAHUN EJEN BANK DI RAIKAN PADA MALAM ANUGERAH EB BSN 2016

Catat 99 juta Transaksi Perbankan dengan nilai urusan hampir RM7 Billion sepanjang 5 tahun pelaksanaan EB BSN


SELANGOR, 20 Mei 2017 – BSN hari ini meraikan seramai 100 ejen bank berdaftar (EB BSN) menerusi penganjuran Malam Anugerah EB BSN bagi menghargai peranan dan komitmen para ejen yang telah menunjukkan prestasi cemerlang untuk tempoh sepanjang tahun 2016. 

Ulang tahun kelima majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Wira Othman Aziz di Sunway Resort Hotel & Spa di Subang, Selangor. Hadir sama Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning serta barisan ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan BSN. 

Sebanyak 19 anugerah melibatkan empat kategori diumumkan dan disampaikan kepada pemenang dengan nilai keseluruhan hadiah berjumlah RM85,000 berupa Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), trofi dan pakej percutian. 

Pada tahun ini, BSN turut memperkenalkan anugerah terbaharu iaitu ‘Anugerah Pengurusan EB BSN Terbaik’ yang mempertaruhkan Piala Pusingan Ketua Eksekutif serta wang tunai bernilai RM5,000 kepada cawangan negeri BSN yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam menguruskan EB BSN di peringkat negeri. Ia disandang oleh Cawangan BSN Negeri Johor. 

Menurut Dato’ Wira Othman, “Perkhidmatan perbankan ejen menjadi salah satu inisiatif menggunakan konsep strategi lautan biru kebangsaan (NBOS), yang membolehkan 99% daripada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kemudahan perbankan asas. Malah ianya amat penting dalam mempercepat dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta kestabilan kewangan”. 

Dalam pada itu, Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar berkata, BSN terus kekal relevan sebagai satu-satunya bank yang memberi akses perbankan secara menyeluruh kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar menerusi rangkaian Ejen Bank Berdaftar (EB BSN) sejak pengenalannya pada tahun 2012 dalam usaha membantu kerajaan mencapai status negara maju. 

“Pengenalan perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar (EB BSN) merupakan satu perkhidmatan perbankan alternatif yang dapat merapatkan jurang rangkuman kewangan yang sedia ada. Setelah lima tahun EB BSN dilaksanakan, jumlah keseluruhan transaksi perbankan meningkat kepada 99 juta transaksi dengan nilai hampir RM7 bilion berbanding hanya 3 juta transaksi pada tahun 2012. Di samping itu juga, jumlah deposit yang diperoleh melalui EB BSN turut meningkat hampir 5 kali ganda daripada RM44 juta kepada RM215 juta termasuk lebih daripada 25,000 pembukaan akaun baharu direkodkan”. 

Ujarnya, pelaksanaan perkhidmatan EB BSN juga telah banyak membantu ejen untuk menambah pendapatan sampingan selain memajukan perniagaan sedia ada.  Hal ini dapat dilihat menerusi peningkatan pembayaran komisen secara tahunan kepada para EB iaitu sebanyak RM14.41 juta pada akhir tahun lalu berbanding RM 1.42 juta pada tahun 2012. 

BSN turut komited untuk terus progresif dalam misi untuk mencapai objektifnya menjadikan sektor perbankan di Malaysia lebih inklusif. Kini, EB BSN meliputi 114 daerah melibatkan 97% daripada 886 mukim di Malaysia dimana secara puratanya, BSN mempunyai lebih daripada 500 ejen EB BSN di setiap negeri. 

Transaksi perbankan EB BSN dibuat melalui terminal Point-of-Sale (POS) iaitu terminal yang disambungkan terus kepada sistem BSN untuk membolehkan urus niaga dilakukan secara atas talian dalam masa nyata. Ianya adalah cepat, mudah dan selamat serta waktu operasi yang lebih lama dari jam 8 pagi hingga 10 malam. 

EB BSN kini mempunyai tujuh (7) perkhidmatan yang ditawarkan antaranya Deposit, Pengeluaran Wang Tunai, Pembayaran Bil, Simpanan  BSN SSP, Pembayaran Tanpa Tunai dan Perkhidmatan Pembukaan Akaun Giro/Giro-i. 

Pada tahun ini, EB BSN turut merangkul ‘Anugerah Rangkuman Kewangan Terbaik’ bersempena Karnival Kewangan 2017 anjuran Bank Negara Malaysia selain pelbagai lagi pengiktirafan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa bagi perkhidmatannya yang unik, inovatif dan berteknologi tinggi. 

Maklumat lanjut sila layari www.mybsn.com.my .

 

- END -


Press Release